Wednesday, December 29, 2010

Bola Sepak Malaysia Melakar Sejarah !!

AKHIRNYA kekecewaan skuad 1996 berjaya ditebus.
Demikian ungkapan pertama bekas penjaga gol negara, Khairul Azman Mohamed selepas anak buah K Rajagobal berjaya menjulang Piala Suzuki AFF buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi, apabila menundukkan Indonesia menerusi agregat 4-2.



Bagi bekas pemain yang pernah menjaga gawang negara pada aksi final 1996 di kejohanan sama sebelum tewas 0-1 kepada Thailand itu, kemenangan itu juga membuka era baru dalam landskap bola sepak negara.
“Tahniah dan terima kasih kepada skuad negara atas kemenangan ini kerana ia secara tidak langsung menebus kekecewaan skuad 1996. Bukan mudah untuk mencapai tahap seperti ini.

“Cuma ingatan saya selepas ini jangan mula lupa diri, sebaliknya teruskan kecemerlangan ini untuk tempoh yang lebih lama kerana peluang barisan muda yang ada ketika ini cukup cerah pada masa depan.

“Kemenangan ini juga membuka lembaran baru dalam era bola sepak moden negara dan seperti yang saya katakan sebelum ini, harap barisan sedia ada ini terus dikekalkan,” katanya.
Khairul Azman juga pantas menghamburkan pujian terutama kepada barisan pemain pertahanan serta penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat pada aksi final kedua malam tadi yang disifatkannya cukup hebat.

“Khairul Fahmi mungkin melakukan sedikit kesilapan, tapi secara keseluruhan dia sudah mempamerkan aksi terpuji manakala barisan pertahanan, tengah dan jentera serangan juga layak diberi pujian.

Pada aksi final 1996, skuad negara yang ketika itu dibimbing Wan Jamak Wan Hassan kecewa kerana tidak dapat menjulang piala berkenaan selepas tewas menerusi jaringan tunggal penyerang Thailand, Kiatisuk Senamuang.

Tuesday, December 28, 2010

Cahaya Oren Cetus Misteri

CHRISTCHURCH, New Zealand - Satu cahaya ganjil berwarna oren dan merah muncul di langit Napier, Taranaki dan Christchurch, lapor akhbar dalam talian stuff.co.nz semalam.

Laporan kemunculan imej itu pada hari kedua selepas Krismas mencetuskan misteri sehingga terdapat spekulasi bahawa ia mungkin objek terbang tidak dikenali (UFO).

Bagaimanapun, Persatuan Astronomi Canterbury yakin bahawa ia merupakan cahaya dari satelit.

Di Hawara, Allan White dan keluarganya mengesan cahaya ganjil itu pada pukul 9.40 malam waktu tempatan Ahad lalu.

Mereka melihat imej ganjil itu selama lima minit dan ia kemudian hilang.

"Saya menganggap ia merupakan satu cahaya oren yang cerah di langit dan cahaya itu mula bergerak ke arah kami," kata White.

Menurutnya, ramai orang yang melihat imej itu menganggapnya sebagai UFO. Beberapa saksi dilaporkan menyuluh ke arah cahaya itu semasa ia bergerak di langit sebelum lenyap lima minit kemudian. - Agensi

   
CAHAYA ganjil berwarna oren muncul di langit Napier, Taranaki dan Christchurch di New Zealand pada Ahad lalu.

Kerajaan Australia Minta Maaf

SYDNEY - Kerajaan Australia memohon maaf secara rasmi kepada seorang doktor dari India, Mohammed Haneef kerana silap menahannya pada 2007 berhubung serangan ekstremis yang gagal di beberapa lapangan terbang di London dan Glasgow.

Permohonan maaf itu dibuat selepas bayaran ganti rugi yang jumlahnya tidak didedahkan telah diberikan kepada Dr. Mohammed.

Doktor itu sebelum ini ditahan dan didakwa membantu organisasi pengganas selepas kad modul pengenalan pelanggan (SIM) telefon bimbitnya dikaitkan secara silap dengan percubaan untuk meletupkan kereta.

"Persekutuan Polis Australia (AFP) mengetahui ia merupakan satu kesilapan dan Dr. Mohammed tidak bersalah berhubung perbuatan yang disyaki," menurut kenyataan rasmi peguam negara Australia dalam laman web semalam.

Dr. Mohammed ditahan di bawah undang-undang antipengganas semasa dia menunggu untuk menaiki penerbangan sehala dari Queensland ke India selain ditahan selama 12 hari sebelum didakwa.



DR. MOHAMMED HANEEF

Lelaki 110 Tahun Ingin Kahwin Lagi

ALOR SETAR - Anda mungkin terkejut apabila seorang warga emas yang berusia lebih 100 tahun masih berkeinginan untuk berkahwin bagi mengubat kesunyian.

Biarpun mata kabur dan pendengaran kurang baik, namun Ahmad Md. Isa, 110, yang lahir pada 7 Oktober 1909 masih sihat dan mengingati kisah silamnya kelihatan bertenaga seolah-olah umurnya 70 tahun.

Beliau memberitahu, walaupun dia dijaga dengan baik oleh anak perempuannya, Fatimah, 64, namun dia masih berhajat untuk berumah tangga kerana mahukan teman untuk berkongsi hidup.

"Saya terasa sunyi tanpa teman. Tidur malam berasa takut, jika ada teman tidaklah berasa sunyi boleh bersembang dan bercerita kisah suka dan duka.



AHMAD menunjukkan kad pengenalannya bagi membuktikan tarikh lahirnya.

Kicap Cap Kipas Udang Tiruan

SEREMBAN - Kicap Cap Kipas Udang adalah antara jenama popular di kalangan pengguna di negara ini.

Tetapi ramai yang tidak sedar, oleh kerana popularitinya itulah jenama tersebut menjadi mangsa tiruan dan beredar dalam pasaran.

Bagaimanapun kegiatan haram itu terbongkar semalam apabila sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri menyerbu sebuah syarikat pemborong barangan runcit yang menjual kicap Cap Kipas Udang tiruan.


Dalam serbuan kira-kira pukul 1 petang di Jalan Tuanku Antah di sini, sebanyak 3,360 botol kicap jenama Cap Kipas Udang tiruan bernilai RM9,100 dirampas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Mohd. Nor Musa berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada syarikat kicap berkenaan.

"Ketika serbuan terdapat lima individu termasuk pemilik syarikat berkenaan di premis terbabit.

"Hasil pemeriksaan mendapati kicap yang dijual di premis itu mempunyai ciri-ciri yang berlainan berbanding produk asli," katanya ketika ditemui di sini semalam.


GAMBAR menunjukkan kicap Cap Kipas Udang tiruan (kiri) yang mempunyai penutup plastik berlubang (dalam bulatan) berbanding kicap asli.

Penggodam Serang Twitter !!

NEW YORK – Penggodam-penggodam melancarkan serangan siber ke atas laman jaringan sosial Twitter dengan menggunakan lebih 1.3 juta kata laluan yang dicuri daripada laman web media, Gawker, lapor sebuah akhbar semalam.

Penggodam-penggodam tersebut menggunakan kata laluan yang dicuri untuk menceroboh ke dalam beribu-ribu akaun pengguna Twitter.

Mereka kemudian menghantar mesej sampah promosi minuman buah beri dari akaun-akaun yang digodam itu.

Mengulas mengenai serangan siber itu, Twitter menyatakan, pengguna- pengguna yang menggunakan kata laluan untuk laman web Gawker dan Twitter yang sama atau akaun perbankan Internet berisiko terkena serangan tersebut.


Bilangan sebenar akaun Twitter yang digodam tidak dapat dipastikan tetapi dalam masa beberapa jam sahaja, beratus-ratus ribu daripada sejumlah 175 juta akaun Twitter telah menyebarkan mesej sampah itu.

Motif serangan tersebut mungkin disebabkan laman web Gawker kerap mengkritik sebuah kumpulan penggodam komputer yang dikenali sebagai 4Chan.

Kicap Pekat Berperisa Cicak


KANGAR - Selama sebulan ini, sebuah keluarga terdiri lapan orang di Taman Merpati di sini tidak menyangka keenakan makanan yang mereka nikmati menggunakan kicap soya pekat, rupa-rupanya bercampur bangkai cicak.

Bangkai cicak dalam kicap pekat yang turut mempunyai tanda sijil halal itu hanya disedari ketika keluarga tersebut menggunakannya untuk memasak nasi goreng kira-kira pukul 7 malam kelmarin.

Menurut Norazura Arip, 32, bangkai cicak sepanjang dua sentimeter itu tiba-tiba terkeluar dari botol kicap berkenaan ketika dia menuangkannya ke atas senduk untuk memasak nasi goreng.

"Saya menjerit kerana terkejut melihat ada cicak keluar dari botol kicap ini yang telah pun bertukar warna menjadi kehitaman.

"Ekoran itu, kami sekeluarga kini berasa loya-loya dan trauma setelah memikirkan selama sebulan ini kicap tersebut digunakan dalam masakan seharian kami," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

P/s: Berhati-hati ketika membeli kicap...

Rahsia Carian Google

HAMPIR setiap saat setiap individu di negara menggunakan agen carian bagi mencari pelbagai maklumat di laman web.

Terdapat pelbagai laman carian di Internet yang biasa digunakan seperti AltaVista, InfoSeek, Google, Yahoo dan Lycos sekadar menyebut beberapa nama.

Bagaimanapun enjin carian yang popular, Google dan Yahoo mendapat tempat di kalangan pengguna Internet.

Bak kata Penganalisis Kanan, CyberSecurity Mohamad Nizam Kassim, agen carian Google mempunyai banyak kelebihan jika kita tahu membongkar 'rahsianya'.


"Selalunya pengguna mengambil masa yang lama untuk mencari sesuatu maklumat di dalam Internet.

"Misalnya jika kita mahu mencari sesuatu, kita akan menaip kata kunci dan hasilnya pasti berpuluh ribu keputusan tersiar di skrin menyebabkan kita perlu mencarinya satu persatu," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas taklimat media mengenai Hari Keselamatan Komputer Dunia yang disampaikan oleh Pengerusi Cybersecurity, Jeneral Datuk Mohd. Azumi Mohamed di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mohamad Nizam berkata, pengguna boleh menggunakan enjin carian Google dengan mudah dengan menaip pembuka dan penutup kata "..." bagi mencari satu perkataan.

"Ini dapat mengurangkan masa untuk mencari bahan di dalam Internet," katanya.

Bagi mencari dua perkara berlainan, pengguna boleh menaip "..." "..." misalnya bagi mencari "mohamad nizam kasim" "cybersecurity" pengguna boleh mendapatkan maklumat yang tepat dan cepat.

Selain itu pengguna Google juga boleh mendapatkan trend pencarian paling tinggi di google zeitgeist.

Bagi mereka yang masih baru dalam enjin carian, mereka boleh ke Soople yang memudahkan carian.

"Soople dibina oleh seorang anak bagi membolehkan ibunya melayari dan melakukan pencarian dengan lebih mudah.

"Kini Soople boleh digunakan oleh sesiapa saja dengan antara muka yang lebih mudah dan ringkas," katanya.
Bagaimanapun jelas Nizam, pengguna perlu 'memecahkan' rahsia Google untuk mengetahuinya.

"Apa yang penting, kita hanya perlu menaip kata kunci yang betul dalam setiap pencarian," katanya.

Organisasi atau agensi yang berminat untuk mengetahui rahsia Google boleh mendapatkan maklumat mengenai kursus yang ditawarkan di laman sesawang www.cybersafe.my.

 
P/s : Macam-macam ada dalam google nih...

Wanita Culik Diri Sendiri Uji Cinta Suami

MADRID: Polis semalam menahan seorang wanita yang didakwa menculik dirinya sendiri atas alasan ingin menguji kasih sayang suaminya terhadapnya.
Wanita itu sebelum ini menghantar gambar dirinya dengan tangan dan kaki diikat kepada suaminya, kata polis.

Suaminya menerima gambar itu bersama teks yang menuntut bayaran tebusan sebanyak AS$26,000 (RM83,200), menerusi telefon bimbit daripada orang yang mengaku menculik isterinya.
Dia juga diberi amaran supaya tidak membuat laporan polis tetapi tidak mempedulikan amaran itu.

Polis melancar siasatan sebelum akhirnya berjaya mengesan wanita itu di Gandia, sebuah bandar kecil di Sepanyol. - Agensi


P/s: Culik diri sendiri dan jumpa sendiri diri sendiri sendirian untuk uji suami sendiri..... Berapa banyak sendiri da..... Tapi agak keterlaluan menguji cinta kalo sampai tahap macam ni... Kang kalo jadi pape susah...

Binatang Celik Komputer

Kenapa? tak percaya?